Wednesday, 13 April 2011

Pengalaman Seminggu di Jepun dan Cerita Gempa


This story has been published at my office's bulletin. Tapi extraction ajer so saja nak letak sini the whole thing (penat mengarang tau!). By the way, it is not edited dan sendiri pun tak sempat nak read through so please bare all the typo and grammar error! hahahah  :

My Short Trip to Japan and Earthquake Experiences




Awal pagi 6hb. Mac 2011, kumpulan kami seramai 14 orang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita. Walaupun boleh dikatakan separuh dari kami biasa keluar negara, malah ada yang telah sampai ke negara Jepun beberapa kali tetapi program kali ini amat ditunggu-tunggu oleh semua ahli delegasi. Ini adalah kerana apa yang akan kami pelajari dan lihat nanti merupakan sesuatu yang sangat baru bukan saja bagi kumpulan kami malah juga di Malaysia sendiri. Misi pembelajaran yang disusun selama seminggu ini diberi tajuk “Member Country Support Program : Observational Study Mission on Material Flow Cost Accounting (MFCA) from Malaysia to Japan”. MPC selaku organisasi penganjur di Malaysia menghantar pengurusnya Encik Azlan Kassim untuk mengetuai kumpulan yang disertai oleh wakil dari lima syarikat contoh MFCA, juruperunding-juruperunding yang dilantik dan tiga orang ahli akademik.


Hari pertama misi ini dilalui dengan berbagai insiden yang tidak kami duga. Encik Kuchimura dari Japan Productivity Centre (JPC) berada di lobi hotel seawal jam 8.00 pagi untuk membawa kami ke ibu pejabat JPC. Hujan turun agak lebat pagi itu sehingga kami terpaksa meminjam beberapa payung dari hotel. Memang kecoh kumpulan kami ketika itu kerana masing-masing membawa beg kecil untuk bermalam di bandar Nagoya. Dengan berkongsi payung sambil membawa beg pakaian masing-masing, berjalanlah kami ke pejabat JPC. Sudahlah pakaian yang sedia dipakai pun dua tiga lapis kerana cuaca sememangnya sangat sejuk!




Pagi 7hb. Mac 2011 itu dilalui dengan sesi orientasi sesama peserta dan pegawai-pegawai dan pakar MFCA dari Asian Productivity Organization dan juga JPC. Ketika pakaian belum pun sempat kering dan sedang kami kusyuk mendengar pengenalan tentang konsep MFCA oleh Encik Yoshikuni Furukawa, kelihatan di tingkap deraian salji yang tidak kurang lebatnya. Walaupun ada peserta biasa ke negara beriklim sejuk, tetapi kesemua kami tetap teruja dengan kehadiran salji tersebut.








Lebih kurang pukul 11.00 pagi, dalam deraian salji yang sejuk kami semua berjalan kaki pula menuju ke stesen keretapi Shibuya. Sejuknya memang tidak terucap dan perut mula terasa lapar! Tepat 11.15 pagi, kami menaiki keretapi menuju ke stesen Shinagawa yang mengambil masa lebih kurang 20 minit perjalanan. En. Kuchimura dan En. Muhammad Idham yang turut serta dalam misi ini, mencadangkan supaya membeli makanan di stesen tersebut. Oleh kerana tidak banyak pilihan terutama bagi peserta beragama Islam, kebanyakan kami hanya membeli roti dan makanan ringan sahaja. Beberapa kali membeli roti sekitar Tokyo, rasanya sedap dan teksturnya sungguh lembut.


Sesuatu yang bagus diperhatikan disini adalah rakyat Jepun yang sentiasa komited dan teliti dalam kerja serta sistem yang sentiasa tepat pada waktunya. Dan tepat juga jam 11.57 pagi, keretapi laju yang turut dikenali dengan nama ’shinkansen’ dan ’bullet train’ bergerak menuju ke bandaraya Nagoya. Nagoya merupakan bandar keempat terbesar di Jepun dan terletak lebih kurang 366 kilometer dari bandar Tokyo. Dengan menaiki ’shinkansen’, perjalanan yang panjang hanya mengambil masa lebih kurang 1 jam 50 minit sahaja. Bandaraya Nagoya ini sangat terkenal dengan industri kraf dan porselin yang sangat sinonim dengan jenama Noritake. Bagi peserta wanita tentulah teruja cuma lawatan ke Noritake Garden tidak termasuk dalam agenda program!


Sampai saja di stesen keretapi Nagoya, bas sewaan pihak JPC dan APO telah sedia menanti untuk membawa kami ke Showa Cable Systems Mie Plant yang mengambil masa perjalanan lebih kurang sejam lebih. Kilang Showa Cable ini telah menggunakan kaedah MFCA sejak tiga tahun yang lalu dan berbagai penjimatan telah dicapai oleh Showa Cable Systems terutama untuk mengurangkan bahan buangan (kabel lebihan dan kabel scrap). Tentu saja yang paling bersemangat adalah Pn. Norita Musa yang merupakan wakil dari syarikat contoh MFCA di Malaysia iaitu Tenaga Cable Industries Sdn. Bhd. Melalui sesi lawatan ini juga, didapati pengurusan data yang bagus serta amalan-amalan kualiti yang sedia ada seperti Kaizen, ISO 9001 dan EMS 14001 sangat membantu syarikat dalam perlaksanaan MFCA.


Sesi lawatan di Showa Cable tamat jam lima petang dan satu jam setengan kemudian kami tiba di Hotel Castle Plaza untuk rehat dan bermalam. Aktiviti hari pertama yang sangat padat membuatkan semua peserta tidak sabar untuk masuk ke bilik masing-masing.


Hari kedua di bandar Nagoya, kami dibawa singgah di Nagoya Castle. Istana lama ini lengkap dibina pada tahun 1612 dan asalnya dimiliki oleh Tokugawa Shogun. Shogun adalah pangkat tertinggi yang mengetuai angkatan tentera Jepun di zaman dulu. Nagoya Castle ini terkenal dengan dua ekor patung ikan lumba-lumba (Dolphin) diperbuat daripada emas tulen dan terletak diatas bumbung istana. Masa sejam yang diperuntukkan tidak cukup untuk kami melawat sepenuhnya istana tersebut.






Kemudian dengan menaiki bas yang sama, kami meneruskan perjalanan untuk sesi pembelajaran seterusnya di syarikat Nitto Denko Toyohashi Plant. Keluaran utama kilang Nitto Denko di Toyohashi adalah tape untuk kegunaan domestik dan industri. Apa yang menarik di syarikat ini adalah mereka telah menggunakan sistem MFCA sejak tahun 2000 dan merupakan syarikat contoh pertama projek MFCA di Jepun. Sesetengah sistem kualiti hanya dapat dilaksanakan pada beberapa tahun pertama sahaja tetapi syarikat ini telah membuktikan penggunaan kaedah MFCA berjaya meningkatkan produktiviti dan kualiti produk yang berterusan. Malah sehingga tahun ini, syarikat telah melabur 700 juta Yen bagi tujuan pengurangan kos (pembelian mesin dan teknologi terkini) hasil analisis MFCA. Sesi lawatan tamat agak lewat dan kami selamat tiba di Hotel Mets Shibuya, Tokyo lebih kurang 8.30 malam.


Hari ketiga dimulakan dengan sesi penerangan “Developing the new ISO standard of MFCA and MFCA projects in Malaysia” oleh juruperunding pakar yang turut membantu membangunkan sistem MFCA di lima syarikat contoh Malaysia iaitu Encik Hiroshi Tachikawa. Oleh kerana telah saling mengenali, semua peserta turut mengambil kesempatan yang ada untuk mengemukakan soalan berkaitan perlaksanaan MFCA di syarikat masing-masing.


Pukul 11.00 pagi, dengan menaiki bas kami bertolak dari JPC menuju ke syarikat Sanden Corporation Akagi Plant yang terletak sejauh tiga jam perjalanan dari bandar Shibuya. Kilang yang terletak di kawasan pergunungan (Gunung Akagi) ini sangat cantik pemandangannya serta berada di tengah-tengah hutan Sanden (Sanden Forest). Di Akagi Plant, kami berpeluang melihat proses pemasangan mesin air (vending machine) serta proses pengujian kualiti yang sangat teliti. Pihak pengurusan sangat mementingkan penjagaan alam sekitar dan ini telah mendorong syarikat melaksanakan sistem MFCA sejak tahun 2005 lagi.


Masuk hari keempat misi pembelajaran MFCA ini, Profesor Michiyasu Nakajima dari Kansai University berkongsi syarahannya yang bertajuk ”Practices of MFCA in the world and future outlook”. Material Flow Cost Accounting ini rupanya berasal dari negara Jerman dan mula diperkenalkan pada industri di Jepun pada tahun 2000 (Nitto Denko as the pioneer for MFCA project). Sehingga kini sejumlah 300 organisasi dari berbagai bidang (perkilangan dan perkhidmatan) telah berjaya melaksanakan MFCA di Jepun.


Pada petang 10 Mac itu, keempat belas peserta dibahagi kepada tiga kumpulan untuk membincangkan hasil maklumat yang diperolehi daripada lawatan kilang dan sesi syarahan. Kami juga perlu membentangkan pelan tindakan yang akan dilakukan oleh kelima-lima syarikat contoh apabila tamat misi pembelajaran ini.


Pagi 11 Mac dilalui dengan perasaan yang berbagai. Takut pun ada kerana kami perlu menghadapi Ujian Penilaian dan pembentangan kumpulan. Namun rasa gembira tetap ada kerana masing-masing sudah merancang untuk berjalan-jalan sekitar Tokyo pada petang nanti dan dihati turut terselit perasaan tidak sabar untuk kembali ke tanahair. Misi pembelajaran kami ditamatkan dengan jamuan anjuran APO. Sekitar jam 2.30 petang, bas menghantar kami kembali ke hotel Mets Shibuya. Sembilan orang dari kami bercadang untuk keluar bersama-sama ke Ueno. Manakala yang lain mempunyai perancangan mereka sendiri ke tempat yang berbeza. Sedang kumpulan kecil kami menuruni eskelator ke subway, terasa seperti ada gegaran pada tangga eskelator tersebut. Masing-masing berpandangan tetapi melihat pada semua warga Jepun yang kelihatan seperti biasa, maka kami pun tidak terasa risau. Namun gegaran tetap berlaku berulang-kali. Mujur juga pengurus besar Tokyo Ferrite Sdn. Bhd, En. Boey Kok Leng fasih berbahasa Jepun. Menurut Mr. Boey, pihak keretapi mengumumkan bahawa gempa bumi skala 6.0 baru saja berlaku dan semua perkhidmatan keretapi dihentikan serta-merta. Malah, sebuah keretapi yang baru menghampiri stesen tersebut, terus dihentikan walaupun hanya lebih kurang 100 meter jaraknya ke hentian tempat kami menunggu. Ketika itu Prof. Maliah dan Prof. Nik sudah mula terasa pening akibat gegaran tadi. Setelah menunggu hampir 40 minit dan pihak stesen keretapi Shibuya hanya mengeluarkan pengumuman yang sama berulang-kali, akhirnya kami mengambil keputusan untuk keluar dari stesen.


Hajat di hati masih juga ingin berjalan-jalan dan mencari cenderahati buat keluarga dan kawan-kawan di Malaysia. Ketika itu kami sudah berpecah mengikut haluan masing-masing kerana setelah hampir seminggu di sini, semua pun sudah arif berulang-alik dari hotel ke bandar Shibuya. Setelah keluar dari kawasan stesen keretapi, barulah terasa sesuatu yang agak pelik kerana bandar Shibuya dipenuhi dengan selautan manusia! Bersebelahan stesen, terdapat pembinaan sebuah bangunan tinggi. Apabila diperhati dengan betul, rupanya kren yang terdapat di bahagian paling atas bangunan tersebut sedang bergerak-gerak seolah-olah berayun. Takut juga melihat keadaan begitu tetapi apabila melihatkan orang-orang Jepun yang menunggu dengan sabar, En. Azlan, Prof. Maliah, Prof. Nik, Pn. Norita dan saya sendiri membuat keputusan untuk tunggu sehingga keadaan reda dan kedai dibuka semula.
Sejam berlegar dan menunggu sekitar Shibuya, dan kedai-kedai tetap tidak membenarkan pelanggan masuk. Oleh kerana kepenatan menunggu dalam cuaca yang sejuk dan perut yang mula lapar, kami berlima membuat keputusan untuk balik ke hotel pada jam 4.45 petang. Setidaknya bolehlah kami berehat dan makan sebelum keluar semula sekiranya keadaan kembali seperti biasa. Sebaik tiba di lobi hotel yang kebiasaannya sunyi tetapi tiba-tiba orang semakin ramai memenuhi setiap sudut. Melihat televisyen di lobi yang menunjukkan gempa bumi baru saja berlaku di Sendai dengan 8.9 skala richter, barulah kami berlima sedar keadaan sebenar dan betapa negara Jepun sedang berhadapan keadaan yang kritikal. Rancangan di televisyen terus menayangkan secara langsung keadaan di Sendai dan di depan mata kami melihat tsunami melanda Sendai dan sekelip mata saja segala-galanya musnah di situ. Ianya adalah pemandangan yang sangat menakutkan!


Sedang kami cuba untuk memahami apa yang sedang berlaku, perasaan risau mula melanda apabila memikirkan dimanakah kawan-kawan yang lain pada ketika itu. Sementara itu kami hanya berkumpul di lobi dan berbincang tindakan yang selanjutnya. Lif juga dihentikan penggunaannya kerana gempa bumi tersebut, jadi kami mengambil masa untuk balik ke bilik masing-masing yang berada di tingkat 11 dan 12. Dalam pada itu pihak APO dan JPC beberapa kali menelefon ke hotel dan juga pihak pengurusan MPC dan En. Khidzir turut memantau perkembangan kami melalui email dan facebook.


Ahli kumpulan kami mula tiba di hotel seorang demi seorang. En. Hanifah Syukri yang pergi melawat rakannya juga telah sampai walaupun berjalan kaki hampir setengah jam. Setelah mengetahui lapangan terbang antarabangsa Narita yang ditutup dan jadual penerbangan kami yang ditunda, En. Azlan mengarahkan kami mula mengemas beg. Ketika itu dua orang wakil dari JPC sedang dalam perjalanan ke hotel untuk berbincang dengan kami tentang tindakan yang akan di ambil bagi menangani situasi ini. Mulai jam 8.00 malam, seorang demi seorang mula turun ke lobi dengan beg besar masing-masing. Wajah setiap dari kami memang tidak dapat untuk digambarkan segala perasaan yang bercampur-aduk. Sudahlah penerbangan balik tidak diketahui statusnya, malah pengangkutan ke lapangan terbang juga tidak ada kerana semua keretapi sama ada biasa ataupun Subway ditangguhkan di semua Steven.


Pada jam hampir ke sembilan malam, kesemua kami telah berada di hotel kecuali En. Mohd. Zaki Mat Deris (Tokyo Ferrite). Mulanya kami tidaklah risau sangat kerana seperti En. Boey, En. Zaki juga fasih berbahasa Jepun. Tetapi apabila langsung tiada khabar berita dari En. Zaki, kesemua kami mula bimbang terutama En. Boey! Alhamdulillah tidak lama selepas itu beliau tiba dengan selamat. Rupanya beliau berada di dalam keretapi semasa gempa bumi berlaku dan terpaksa berjalan kaki selama lebih tiga jam dari bandar Ueno untuk balik ke hotel.


Tidak lama kemudian, En. Fujita dan En. Go dari JPC tiba di hotel untuk berjumpa kami semua. Hasil perbincangan, kami bersetuju untuk bermalam di hotel yang sama dan berkumpul di lobi esoknya jam 6.00 pagi. Menurut pegawai JPC, hotel Mets Shibuya merupakan antara hotel yang agak baru dan dibina dengan teknologi gempa (earthquake resistance building), jadi seharusnya kami tidak perlu terlalu risau. Malam itu tidur kami tetap tidak lena kerana gempa bumi masih berlaku berulang-ulang kali menyebabkan bangunan hotel turut bergegar.


Esoknya ada antara kami yang sudah berada di lobi hotel seawal jam 4.30 pagi! Lebih kurang jam 6.15 pagi, kami bertolak dengan menaiki bas kecil (coaster) menuju ke lapangan terbang antarabangsa Narita. Kami hanya berhenti rehat 15 minit setelah tiga jam perjalanan. Ketika jalan masih sesak dan jam sudah menunjukkan hampir pukul 11.30 pagi, kebanyakkan kami merasakan tidak ada harapan lagi untuk mengejar penerbangan yang dijadualkan pada 1.30 tengah hari. Masing-masing seperti hilang semangat kerana daripada maklumat terkini, sekiranya kami tidak dapat menaiki penerbangan tersebut, penerbangan esok pula masih tidak ada sebarang kepastian lagi. Sedih pun ada, risau apatah lagi.
Namun laluan kami nampaknya dipermudahkan (mungkin berkat doa keluarga dan rakan-rakan), kami selamat sampai di perkarangan lapangan terbang Narita tepat jam 12.23 tengah hari. En. Go terus berlari ke kaunter check-in bersama 14 pasport antarabangsa kami! Manakala yang lain bergegas mengeluarkan beg yang tentunya besar-besar dan banyak pula bilangannya. Selamat sahaja berada dalam perut kapal terbang, apabila kerisauan dah hilang, masing-masing baru terasa lapar kerana hanya makan makanan ringan saja sejak petang semalam.


Syukur segala-galanya berjalan lancar dan penerbangan kami MH 89, selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur jam 8.15 malam. En. Mustapha Sufaat selaku wakil pengurusan MPC turut berada di lapangan terbang malam itu tetapi kerana setiap dari kami sudah mengikut haluan masing-masing, beliau hanya sempat berjumpa beberapa orang sahaja.


Pengalaman misi pembelajaran kali ini memang sesuatu yang akan dikenang sampai bila-bila. Terlalu banyak perkara baru yang dipelajari, bukan saja tentang konsep dan penggunaan kaedah MFCA tetapi pengalaman menghadapi saat-saat kecemasan. Kami juga sangat menghargai pegawai-pegawai dari JPC dan APO yang telah bersusah-payah memastikan kami selamat balik ke tanahair walaupun negara mereka sendiri yang lebih teruk dilanda musibah. Antara perkara yang membuat kami terharu apabila mendapat tahu En. Fujita dan En. Go sebenarnya baru tiba dari Vietnam semalam, dan mereka berjalan kaki lebih tiga jam dari pejabat APO ke Hotel Mets Shibuya, semata-mata untuk memastikan kami selamat. Dan malamnya mereka tidur di pejabat JPC supaya dekat dengan kami dan memudahkan mereka mendapat status semasa tentang maklumat penerbangan balik kami. Kemudiannya mereka juga ikut sama menaiki bas kecil dan melalui sejauh enam jam perjalanan menuju ke Narita.

Productivity Tips Found at Pinterest

50 Productivity Tips to Boost Your Brainpower (#Infographic)
Infographic brought to you by Wrike

Koleksi Novel Saya

  • 5 Tahun 5 Bulan - Hlovate
  • Air Mata Kasih - Norhayati Berahim
  • Aku Milikmu - Aleya Anessa
  • Bayangan Rindu - Anis Ayuni
  • Bicara Hati - Damya Hanna

Wanna follow me, I'll follow u back then

Follow by Email

Novel collection

Novel collection

Artphoto

Artphoto